Skip to main content

Pilihanraya Kampus: Ke Arah Melahirkan Pemimpin Karismatik Muda

Apabila artikel ini tersiar pilihanraya kampus yang diadakan serentak di seluruh Malaysia sudah berakhir.Rata-rata keputusan menunjukkan kumpulan pelajar pro aspirasi kerajaan dan pro pembangkang agak seimbang penguasaannya. Kampus-kampus seperti UUM,UiTM dan Kolej Tun Hussein Onn dilaporkan dimenangi oleh pro aspirasi kerajaan. Kampus-kampus seperti UM,UTM dan UKM masih dikuasai oleh pro-pembangkang. Pada hemat penulis label pro pembangkang dan pro aspirasi kerajaan hanya timbul selepas media memeberikan liputan luas terhadap pilihanraya kampus pada tahun ini.
Sebelum ini label-label seperti ini boleh dikatakan tidak wujud dan pertandingan hanya tertumpu diantara parti-parti pelajar yang bersifat informal yang ditubuhkan secara ad-hoc untuk tujuan pilihanraya.

Antara sebab pilihanraya kali ini begitu mendapat perhatian massa ialah format pilihanraya yang baru dikuatkuasakan. Jika sebelum ini parti-parti bertanding boleh mneydiakan poster sendiri dan kempen secara terbuka dibenarkan ,ironisnya pada tahun ini dan seterusnya poster-poster kempen hanya dikeluarkan oleh Hal Ehwal Pelajar berbentuk ‘standard’ hitam dan putih supaya calon tidak dikenali mewakili kumpulan-kumpulan tertentu.Bagi tempoh berkempen pula disingkatkan dan kempen secara terbuka tidak dibenarkan. Ini bermakna ‘public speech’ dan rapat-rapat umum sudah tidak dibenarkan.Misalnya di UKM , calon hanya boleh berkempen melalui pita video,dengan harapan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dan kempen keterlaluan.

Menelusuri kembali tujuan diadakan pilihanraya kampus ialah bagi memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan majlis perwakilan pelajar (MPP). MPP berfungsi sebagai mata ,telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian disini.Ini bermakna pemimpin yang dipilih memepunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar ‘viable’ dan berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus.Berkarisma ialah kata kunci yang paling tepat kepada penulis jika ditanya kriteria yang diperlukan bagi seorang pemimpin pelajar. Karisma mempunyai konotasi yang cukup luas yakni merangkumi cara bekerja,pesonaliti,ekspresi idea,berakhlak dan tidak dilupakan interaksi sosial yang baik.Tambahan pula,Falsafah pendidikan negara dan mana-mana pusat pengajian tinggi di dunia ini mengharapkan untuk menghasilkan pelajar yang versatile dan serba boleh.Pendidikan negara kita bersifat holistik bagi menghasilkan ‘insan kamil’ yang sempurna sifatnya.Agak malang,apabila pendidikan hanya dijadikan alat untuk menghasilkan pekerja mahir sahaja.Persepsi ini salah dan perlu diperbetulkan. Justeru,pilihanraya kampus merupakan ruang yang paling sesuai untuk mencapai tujuan tersebut.Golongan pemimpin muda ini diharapkan benar-benar ampuh setelah melalui pelbagai ranjau kepimpinan kampus untuk menerajui kepimpinan negara kelak.Pilihanraya kampus merupakan salah satu proses wajib yang perlu dilalui bagi seorang pemimpin pelajar.Bak kata pepatah,proses kepimpinan ibarat menghasilkan air suling dimana air tersebut perlu melalui pelbagai peringkat proses penapisan dan sulingan sebelum menjadi air tulen.

Karisma menurut Tony Alessandra di dalam bukunya ‘Charisma:Seven Keys To Developing The Magnetism That Leads To Success’ menyatakan bahawa salah satu cirri utama karismatik ialah potensi menyampaikan visi dan idea secara berkesan.Memetik kata beliau “Charismatic people possess a similar,almost childlike faith in their vision and their ability to create change.People will follow leaders whose vision inspires them and makes their lives more meaningful”.Albert Einstein, Eleanor Roosevelt dan Bill Gates ialah antara beberapa orang tokoh pada hemat penulis yang karismatik kerana kekuatan idea dan visi mereka.

Tidak syak lagi,pilihanraya kampus sepatutnya menjadi medium yang sesuai untuk tujuan tersebut.Kempen yang begitu singkat dan tiada kebebasan pelajar untuk berkempen bagi menerangkan manifesto dan gagasan mereka sebenarnya, sedikit sebanyak menghakis cirri-ciri karismatik yang penulis nyatakan tadi.Pengundi hanya mampu menilai calon-calon yang bertanding melalui poster hitam putih dan sedikit manifesto berbentuk tulisan yang dilampirkan bersama.Ditakuti pemimpin yang dipilih nanti ialah ‘pemimpin kangkung’ yang hanya timbul dan menampakkan muka hanya semasa musim pilihanraya.Walhal sebelum ini mereka tidak dikenali langsung sebagai mereka yang aktif dan layak digelar sebagai pemimpin.Pengukuhan kepmpinan mereka hendaklah seperi bunga ‘kiambang bertaut’ yang mempunyai akar yang kukuh dan sedia mantap walaupun selepas hujan.Untuk itu mereka ialah pemimpin yang telah melalui pelbagai proses kepimpinan seperti yang diyatakan tadi?

Tidak dinafikan politik luar kadangkala mempengaruhi bentuk dan corak undian.Kecenderungan pemimpin pelajar ini ke arah parti politik tertentu ialah suatu yang fitrah dan tidak dapat dielakkan kerana acapkali isu diluar secara kebetulan mempunyai nilai yang sama dengan aspirasi perjuangan pelajar. Sebenarnya,perkara ini tidak perlu dirunsingkan malah digalakkan sebagai adab perbezaan pandangan atau dalam erti kata lain sebagai ‘politics of difference’.Sebagai sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi ,suasana ini amat baik dan membuktikan mahasiswa kita tidak jumud dan idea mereka segar dan kreatif.Penulis percaya masyarakat kampus ialah pengundi yang matang dan mereka hanya memilih pemimpin yang memenuhi ciri-ciri karisma tersebut.Penulis tertarik dengan sebuah artikel yang bertajuk ‘Relativism,Deconstruction and the Curriculum’ oleh Amy Gutmann dimuatkan dalam buku ‘Campus Wars’.Beliau menyatakan ‘Colleges and universities are the only major social institutions dedicated to fostering knowledge, understanding, intellectual dialogue and the pursuit of reasoned argument in the many directions that it may lead’. Maka,hasrat ini jangan dibantutkan melalui sekatan-sekatan yang tidak munasabah sekaligus membunuh nilai karismatik yang kita inginkan.

Penulis yakin dan percaya proses pilihanraya yang terdahulu lebih pragmatik ke arah menghasilkan kepimpinan pelajar yang karismatik,kebebasan pelajar untuk berkempen tidak boleh disekat selagi mana tidak menyentuh isu-isu sensitif.Proses pilihanraya kampus merupakan wadah demokrasi terbaik untuk masyarakat kampus memilih pemimpin mereka.Oleh itu, kebebasan diperlukan untuk mereka membuat pilihan.Mungkin format pilihan raya yang baru ini boleh menghapuskan elemen pembangkang di kampus tetapi dalam masa yang sama mampu juga membunuh karisma pemimpin pelajar.Utamakanlah yang utama,pembinaan kepimpinan yang unggul dan berkarisma lebih penting daripada agenda remeh yang lain.Untuk itu semua pihak perlu meneropong semula idea yang dilontarkan oleh Plato di dalam Republic dan Crito mengenai demokrasi dan apresiasi nilai demokratik dalam masyarakat kita.Jangan ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ dan ‘kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar’. 



Comments