Skip to main content

Sikap ‘Paranoid’ Pentadbiran UiTM Shah Alam Jelas Kelihatan

Shah Alam, 11 Jan : UiTM Shah Alam terus bergelora! Menurut satu sumber dalam kenyataannya, pelbagai kejadian ‘pelik’ dan ‘aneh’ telah berlaku semenjak akhir-akhir ini sehingga menimbul keraguan para pelajar dan staf akan keupayaan pentadbiran universiti berkenaan yang sebenar.
Minggu lalu, satu khabar angin menyatakan bakal berlakunya demonstrasi mahasiswa yang akan berlaku di kampus berkenaan jelas mendatangkan kesan negatif kepada pentadbiran UiTM Shah Alam.
Ratusan Banner kelab/persatuan dengan rupa dan warna yang hampir serupa serta membawa mesej seperti ‘UiTM Bukan tempat demo’, ‘Jangan Lupa Tangan yang memberi’ dan pelbagai lagi boleh dilihat di dalam kawasan UiTM, perkara ini adalah satu tindakan yang jelas menjatuhkan kredibiliti UiTM sendiri.
Menurut sumber, puluhan kain rentang yang digantung sekitar kampus itu jelas menunjukkan sikap ‘paranoid’ pentadbiran UiTM Shah Alam.
Tolak demonstrasi tetapi sertai demonstrasi?
“Adakah kalian lupa tentang episod demonstrasi mahasiswa ke bangunan SUK Selangor pada 2008?
“Serta demonstrasi mendesak Dato’ Saifuddin letak jawatan di Putrajaya?
“Malah semuanya turut disertai pelajar-pelajar UiTM, lebih-lebih lagi dengan restu pihak pentadbiran HEP sendiri.
“Ia jelas menjadi satu perbualan hangat dan ‘kritikan pedas’ yang perlu ditelan oleh pihak yang menggantung ‘banner’ berkenaan di laman social facebook dan twitter.”, ujar sumber berkenaan yang tidak mahu didedahkan namanya.
Sikap ‘paranoid’ pentadbiran UiTM Shah Alam juga jelas kelihatan ketika berlakunya isu amaran daripada Naib Canselornya, Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Amaran yang dikeluarkan beliau melalui laman facebooknya mengenai satu ancaman demonstrasi jelas menunjukkan satu agenda terancang cuba dilakukan pihak tertentu dalam cubaan menghasut para mahasiswa.
“Selain itu, penyebaran risalah ‘Bebaskan Anwar’ di Dataran Cendekia UiTM Shah Alam yang memaparkan logo KAMI (Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) jelas berunsur fitnah.
“Dan kami percaya ini merupakan satu perang psikologi supaya pelajar-pelajar UiTM membenci gerakan-gerakan mahasiswa dengan mengaitkan politik kepartian, malah SMM dan KAMI telah menafikan tentang penyertaan mereka dalam risalah itu.
Wujud akaun twitter palsu
Episod kontroversi di UiTM tidak berhenti disitu sahaja apabila satu akaun twitter palsu Datuk Naib Canselor UiTM dikesan kewujudannya bermula minggu lepas.
“Dan setelah Dato NC sendiri memberi amaran untuk melaporkan tentang akaun palsu itu kepada pihak PDRM dan SKMM, akaun twitter yang menggunakan tweethandle @ayahandasahol itu telah dipadamkan.”, tambahnya mengenai isu berkenaan.
Naib Canselor UiTM menurut sumber itu hanya menggunakan nama @datosahol sebagai nama twitter rasmi beliau ketika ini.
Soalan bocor ketika peperiksaan
Dalam isu berlainan, satu kejadian telah berlaku semasa peperiksaan akhir semester yang sedang berlangsung ketika ini melibatkan pelajar-pelajar dari FKPM.
“Ianya berlaku apabila calon-calon peperiksaan dikehendaki untuk menduduki semula subjek ‘Introduction to Mass and Communication’ apabila terdapat laporan dibuat menyatakan soalan ‘midterm’ telah dikeluarkan semula untuk soalan final.
“Alasan yang diberikan oleh pihak pentadbiran adalah untuk menjaga kualiti UiTM, maka peperiksaan semula terpaksa diambil para pelajar.
“Bagaimana universiti boleh bocor soalan? Kalah sekolah menengah ni.”, ujarnya.
Situasi itu menurutnya jelas menunjukkan sikap pentadbiran yang tidak profesional sehingga menyukarkan para penuntut menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kertas peperiksaan berkenaan. – GZDaily

Comments