Skip to main content

Khalid Samad Sedia Berdebat Dengan Hasan Ali

Oleh Afix Redzuan
SHAH ALAM 9 FEB : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sedia mengadakan debat terbuka dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat , Datuk Hasan Ali sekiranya disiarkan secara langsung di media eletronik.
Ia bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperjelaskan secara adil dan berfakta berhubung ‘parasit’ dalam PAS yang dicetuskan hasan sebelum ini.
Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menyifatkan bekas Exco Selangor itu sebagai ‘musuh dalam selimut’ ekoran beberapa kenyataan yang bercanggah dengan parti dan Pakatan Rakyat (Pakatan) sebelum dipecat.
Katanya, keputusan pemecatannya dibuat sendiri oleh pimpinan tertinggi parti yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat khas tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak termasuk ‘parasit’ seperti yang di katakan Hasan.
“Saya diberitahu bahawa walaupun majoriti ahli mesyuarat meminta dia pada asalnya tidak dipecat tetapi digantung keahlian dan semua jawatannya, tetapi pimpinan tertinggi telah memutuskan bahawa dia perlu dipecat. Maka setelah berbincang, kehendak pimpinan tertinggi itu diterima semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Datuk Hasan berhubung 9 sebab mengapa beliau tidak akan merayu pemecatannya.
Jelas Khalid, ketika mesyuarat dibuat, beliau berada di Arab Saudi.
Katanya, kenyataan Hasan yang mengatakan peranan parasit begitu menonjol merupakan satu penghinaan sekaligus tidak menghormati keputusan pemilihan yang dibuat ahli dalam Muktamar PAS 2011 dan kepimpinan yang diterajui Presiden PAS yang dilihat tunduk dengan desakan golongan tersebut.
Tambah Khalid, sebelum ini Hasan berulang kali mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan walhal keputusan bersama Pakatan diputuskan dalam Muktamar dan pada ketika itu beliau sendiri tidak bersuara untuk mengatakan sebaliknya.
Beliau turut mendedahkan terdapat pertemuan bersama Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)dan Datuk Seri Khir Toyo bagi membentuk kerajaan di Selangor yang membuka ruang supaya Datuk Hasan Ali dilantik menjadi Menteri Besar Selangor namun usaha itu digagalkan.
“Dalam tempoh sebelum dilantik Menteri Besar, telah diatur satu pertemuan dengan Tun Abdullah Badari dan Datuk Seri Khir Toyo sepatutunya dia (Hasan Ali) pergi tapi digantikan oleh saya atas arahan PAS Pusat. Dalam pertemuan itu Pak Lah telah sebut PAS ada 8 kerusi, PKR ada 15 kerusi (8 Melayu) dan 20 kerusi bukan Melayu(13 DAP). Awak ada minoriti Melayu, bagaimana ingin membentuk kerajaan.
“Saya katakan, penyelesaiannya mudah. Umno ada 18 kerusi, 5 daripadanya dipinjamkan keapda PAS maka kita ada 21 kerusi Melayu dan masalah selesai. Dia (Pak Lah) kata tidak boleh. Dia mahu PAS lompat bersama dia (Umno), 20 kerusi yang ada pada BN dicampur menjadi 28 kerusi. PKR campur dengan DAP juga menjadi 28, maka bertemu dengan Sultan cepat-cepat dan lantik Hasan Ali menjadi Menteri Besar. Kalau Umno tidak sanggup untuk memberikan 5 kerusi terbabit untuk menyelesaikan masalah majoriti atau minoriti itu. Maka habis di situ,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, Hasan sebenarnya menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan pihak lain memandangkan beliau dengan dasar Melayu, Islam dan Raja selain latar belakangnya sebagai seorang pakar motivasi sebelum ini.
Dalam konteks berkongsi kuasa katanya, semua pihak sepatutnya mendengar pandangan semua dan bukannya hanya bersandarkan keputusan sendiri semata-mata.
Ujar beliau, Hasan sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor lebih awal memandangkan beliau mengakui mengahadapi kesukaran untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu dan bukannya selepas empat tahun mendapat manfaat dan kemudahan sebagai pemimpin negeri.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar Datuk Hasan supaya mendedahkan lokasi maksiat seperti dakwaan ‘Shah Alam Kota Maksiat’ dan bukannya ‘cakap ikut sedap mulut’.
“Gambaran sedemikian sebenarnya menempelak Datuk Bandar dan pihak lain seolah-olah hanya dia seorang yang melakukan tugas,” katanya.
Berhubung kemungkinan beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU-13) di Shah Alam dengan Datuk Hasan Ali, katanya, segalanya terserah kepada parti memandangkan semua yang bertanding tidak mengetahui dan diberikan jaminan sama ada mereka akan kekal untuk bertanding.
Katanya, beliau mendapat tawaran debat bersama Hasan melalui sebuah penganjur dan akan bersetuju dengan syarat ianya dilakukan secara ‘Live’.

Comments