Skip to main content

Dua Siswi Direman Bantu Siasat Kes Bunuh

Kuala Kubu Bharu, 1 Mac : Dua pelajar perempuan daripada sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang remaja dibakar hidup-hidup di Kampung Sepakat dekat Bukit Tagar, 26 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kedua-dua wanita terbabit di tahan di rumah sewa mereka di Shah Alam jam 3 petang kelmarin.
“Kita telah menahan dua pelajar wanita terbabit dan mereman mereka selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Norel tidak mendedahkan nama kedua-dua saksi terbabit dan menegaskan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Pada 26 Februari lalu, sebuah keluarga India di Kampung Sepakat dekat sini dikejutkan dengan kedatangan seorang remaja dikenali sebagai Mohd Syahirudin Mohd Shauki, 19, dalam keadaan 80 peratus badannya melecur dan terbakar yang meminta pertolongan.
Saksi, T Vadamalai, 56, yang ditemui di rumahnya di Lot 288 kampung terbabit segera memberikan pertolongan dan menghubungi ambulan sebelum remaja itu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Menurut Vadamalai, remaja terbabit mengadu telah dipukul dan disimbah petrol sebelum dibakar berdekatan kawasan itu.
Polis turut menemui cebisan pakaian mangsa di tengah-tengah pembahagi jalan kira-kira 400 meter dari Plaza Tol Bukit Tagar namun sehingga kini masih berusaha mengesan lokasi sebenar mangsa dibakar. – GZDaily

Comments