Skip to main content

Mangkuk Tandas Di Stesyen LRT Sri Rampai Meletup

Kuala Lumpur: Seorang pengguna transit aliran ringan (LRT) bernasib malang selepas terkena satu letupan menyebabkan cedera dalam kejadian di sebuah tandas di Stesen LRT Sri Rampai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, mangsa Muhd Shakereen Basri, 22, cedera di paha, punggung dan belakang badan akibat terkena letupan dan serpihan mangkuk tandas yang pecah.
Difahamkan, kejadian itu berlaku sebaik mangsa yang tinggal di Seksyen 1, Wangsa Maju selesai membuang air besar sebelum satu letupan berlaku di dalam mangkuk tandas berkenaan.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Fairus, 25, berkata ketika kejadian mangsa seorang diri masuk ke dalam tandas.

Katanya, tidak sampai dua minit kemudian dia terdengar satu letupan dari dalam tandas.

“Mangsa menjerit minta tolong sebelum pihak berkuasa membantu mengeluarkannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.


Mangkuk tandas meletup

Keadaan Sakereen yang cedera di paha dan belakang badan selepas mangkuk tandas di stesen LRT di Sri Rampai, Wangsa Maju meletup semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pemuda cedera di beberapa bahagian badan selepas mangkuk tandas di stesen transit aliran ringan (LRT) Sri Rampai di Wangsa Maju di sini meletup semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang, Muhd. Sakereen Basri, 22, seorang penganggur, baru duduk atas mangkuk tandas itu.

Akibat letupan yang menyebabkan sebahagian kecil mangkuk tandas itu pecah, mangsa mengalami calar di kedua-dua belah paha dan luka di belakang badan akibat terkena serpihan mangkuk tandas yang pecah. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pemeriksaan polis menemui kesan serpihan mangkuk tandas yang pecah serta cebisan kertas selain terdapat bau belerang di tempat kejadian.

"Cebisan kertas itu dipercayai digunakan untuk membalut bahan letupan yang disyaki mercun yang diletakkan di sekitar kawasan mangkuk tandas tersebut," kata beliau yang mengesyaki kejadian itu adalah perbuatan khianat. -kosmo

Comments