Skip to main content

Pulau Pinang hadiahkan RM100,000 untuk Lee Chong Wei


GEORGE TOWN, 7 OGOS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat akan menganugerahkan insentif bernilai RM100,000 kepada wira badminton negara Lee Chong Wei yang merupakan anak tempatan bagi mengiktiraf pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2012.

Ketua Menteri Pulau Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, anugerah tersebut adalah untuk usaha gigih beliau dalam Sukan Olimpik London 2012, serta sebagai galakan untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016.

“Walaupun terkecundang kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir, Lee Chong Wei telah berusaha dengan gigih dan menimbulkan rasa bangga setiap rakyat Malaysia,” ujarnya.

Chong Wei berjaya beroleh pingat perak bagi acara badminton perseorangan lelaki setelah tewas kepada jaguh menunggu China, Lin Dan dalam persaingan yang amat sengit Ahad lalu.

“Walaupun gagal memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia, Lee Chong Wei telah menjadi juara Olimpik dalam hati setiap rakyat Malaysia. Negeri Pulau Pinang berasa bangga dengan kejayaan juara badminton dari Bukit Mertajam ini,” tambah Guan Eng lagi.

Menurut beliau juga semangat perjuangan dan keupayaan bertaraf dunia beliau wajar dicontohi dan dijadikan inspirasi. Semangat beliau juga telah menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa.

Anugerah insentif ini akan diberi melalui program ganjaran Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) untuk olahragawan Pulau Pinang yang bertaraf dunia. – Roketkini.com

Comments