Skip to main content

Bajet 2013 Daripada Perspektif Mahasiswa


Tanggal 28 September 2013 menjadi tarikh yang begitu penting buat seluruh rakyat Malaysia bermula daripada pihak atasan yang terdiri daripada barisan kabinet kerajaan mahupun pembangkang, golongan pertengahan yang terdiri daripada penjawat-penjawat awam, golongan korporat, penganalisis ekonomi  dan mahasiswa sehinggalah kepada golongan bawahan seperti petani, nelayan dan pekerja kilang, tatkala bajet tahunan negara dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di dewan rakyat bagi tahun 2013.

Minda pemikir-pemikir ekonomi tanah air sebelum ini telah meramalkan bajet kali akan menjadi bajet paling kritikal yang digarap oleh barisan kepemimpinan Barisan Nasional dalam sejarah negara dek beberapa isu yang tidak memihak kepada mereka dan prestasi ekonomi negara yang menghadapi cabaran antara yang terhebat pernah dilalui. 

Secara matematik, barisan kepemimpinan negara hanya mempunyai masa lebih kurang tujuh tahun lagi bagi merealisasikan wawasan mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Jika dilihat dari segi pendapatan perkapita negara pada tahun 2012 yang mencecah RM30,070 menurut fakta yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, angka itu masih jauh ketinggalan daripada apa yang direncanakan iaitu RM 49,500 (U$ 15,000) menjelang tahun 2020. 

Tambahan lagi, bajet yang telah dibentangkan ini menjadi bajet terakhir yang digarap dan dibentangkan oleh barisan kabinet Barisan Nasional sebelum mandat kerajaan tamat pada tahun 2013 (PRU 13), tetapi yang lebih menariknya ialah bajrt ini dibentangkan dua hari selepas pembentangan Bajet Pakatan Rakyat yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bajet yang dibentangkan pada kali ini merangkumi dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak 215.6 bilion (RM201.9 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM 49.7 bilion) yang dicanai dengan lima fokus utama iaitu merangsang aktiviti pelaburan, memperkasa pendidikan dan latihan, membudaya inovasi, meningkatkan produktiviti, konsolidasi fiskal dan mempercekap penyampaian perkhidmatan awam, serta mensejahterakan rakyat. 

Sememangnya kita tidak perlu terkabur dengan angka yang begitu besar dan tinggi kerana setiap penguasa yang memegang ‘kantung’ duit secara lumrah boleh merancang kewangan mengikut fikiran dan ‘jari telunjuk’ mereka tetapi apa yang terlebih  penting ialah bagaimana keberkesanan pelaksanaan dan dasar-dasar fiskal dan monetari yang direncana supaya tidak berlaku sebarang ketirisan. 

Mengikut dakwaan pemerhati kewangan antarabangsa, Global Financial Integrity (GFI), Malaysia telah menjadi hub kepada aliran keluar wang haram yang telah menghancurkan kredibiliti negara di mata dunia. Laporan GFI menyatakan sejumlah RM889 billion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh lapan tahun (2000-2008) lalu benar-benar mencabar kredibiliti Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia. Malangnya, sehingga hari ini Bank Negara Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang laporan siasatan berkenaan perkara ini.

Sememangnya kita perlu akui beberapa dasar yang diperkenalkan adalah bertepatan dengan situasi semasa dan efektif seperti bagi meningkatkan  aktiviti pelaburan domestik dan daya saing Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan 1 billion Dana Strategik Pelaburan Domestik di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Serta menyediakan dana 16 juta untuk skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan SSM (perlindungan maksimum RM5,000). 

Tetapi, yang saya tidak setuju pada kali ini ialah perancangan dan dasar bajet kali ini kurang menyentuh tentang bagaimana untuk menyeimbangkan kenaikan kos rumah dan kenaikan gaji golongan pertengahan. Hal ini kerana, yang kita lihat pada hari ini trend peningkatan harga rumah lebih laju dan cepat berbanding trend kenaikan gaji terutamanya bagi golongan pertengahan yang tinggal di bandar. Hal ini benar-benar membebankan mereka. Sememangnya kita tidak menafikan projek pembinaan perumahan kos sederhana oleh PR1MA dan SPNB mampu mengurangkan beban tersebut tetapi yang menjadi persoalan ialah tentang nasib mereka yang baru mula bekerja dan kualiti rumah tersebut yang sering dipertikaikan oleh penghuni-penghuni saban hari.

Masalah yang paling kritikal dalam bajet ini ialah kebanyakan dasar dan insentif yang telah digariskan bersifat ‘one-off’ atau jangka pendek dan hanya memfokuskan satu pihak sahaja. Pelaburan ini juga hanya bersifat sementara dan tidak menyeluruh. Sebagai contoh, pemberian rebat RM200 untuk pembelian smartphone 3G yang sememangnya menggembirakan golongan muda dan banyak lagi. ‘Sepatutnya Kerajaan bukannya sahaja perlu menaburkan ‘gula-gula’ kepada rakyat tetapi kerajaan juga perlu memberi ‘mesin gula-gula’ kepada mereka supaya mereka tahu bagaimana untuk berdikari dan berfikiran inovatif’, kata Pakar Ekonomi Islam Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Sebelum saya akhiri analisis ini, saya ingin lemparkan satu fakta yang bukan direka-reka dan bukan untuk menakut-nakutkan masyarakat  tetapi hakikat yang perlu kita terima. Di sebalik kejayaan ekonomi negara yang didedahkan oleh media arus perdana iaitu laporan yang dikeluarkan oleh Standard and Poor's (S&P) dan Fitch Rating, S&P memberi amaran akan memberi penilaian yang rendah sekiranya Malaysia tidak menggunakan perubahan signifikan terhadap kewangannya. 

Fitch Ratings pada bulan lalu berkata Malaysia masih belum memberi pelan yang menyakinkan untuk menangani perbelanjaan defisit dan hutang kerajaan persekutuan. Hutang Malaysia sekarang ialah RM 476.68 bilion iaitu hampir 53% daripada KDNK Negara. Mereka juga memberitahu dengan keadaan kewangan yang lemah, dengan menerima penilaian 'A' dan Malaysia kini sama paras dengan negara yang banyak berhutang seperti Itali. Malaysia juga turun empat tangga ke tempat 25 dalam persidangan ekonomi dunia (WEG) dalam kedudukan negara paling berdaya saing tahun ini, dan jatuh dari tempat ke 96 ke 110 dalam kerajaan dengan bajet berimbang.

Kesimpulannya, dalam menilai sesuatu perkara, nilailah dengan hati yang neutral. 



Muhammad Kamarul bin Setapa,
Wakil Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran,
Majlis Perwakilan Mahasiswa 2012/2013,
Universiti Malaya.

Comments