Skip to main content

Runtuhan Banglo: 1 maut, usaha menyelamat masih diteruskan


Laporan Dari Malaysian Insider

Rumah banglo yang diubahsuai di Seksyen 7 runtuh secara tiba-tiba hari ini. — Gambar oleh Hafidz Baharom

SHAH ALAM, 18 Okt — Seorang buruh binaan warga Indonesia maut, empat lagi cedera dan tiga lagi masih terperangkap dalam runtuhan sebuah rumah banglo yang sedang diubahsuai di Seksyen 7 di sini, petang tadi.
Daripada empat yang cedera seorang daripadanya dikatakan terputus kaki dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk  mendapatkan rawatan kecemasan.
Kejadian berlaku di Jalan JED, 7/5, Seksyen 7, berhadapan dengan Kolej Kediaman Jati, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang tinggal berhadapan dengan banglo tersebut, beliau terdengar satu dentuman kuat kira-kira pukul 4.20 petang ketika beliau sedang membaca surat khabar.
“Ketika saya sedang membaca itu, tiba-tiba saya terdengar satu bunyi yang begitu kuat.
“Bila buka tingkap untuk melihat saya ternampak scaffolding goyang, tumbang. Bila saya berlari keluar saya ternampak semua bahagian yang diubahsuai itu runtuh, tiada lagi di situ,” kata Abdul Aziz ketika ditemui oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.
Menurut seorang pemuda yang melihat usaha-usaha menyelamat di tempat kejadian, seorang lagi mangsa yang terperangkap telah berjaya dikeluarkan lebih kurang pukul 10.30 malam tadi dan telah dikejarkan ke hospital yang sama.
Tinjauan The Malaysian Insider di tempat kejadian mendapati pihak bomba, polis, MBSA dan lain-lain lagi masih menjalankan usaha-usaha untuk menyelamatkan dua lagi mangsa yang masih terperangkap.

Laporan dari Sinar Harian

Pemandangan di kawasan bumbung rumah banglo runtuh. Pix: Sinar HarianPemandangan di kawasan bumbung rumah banglo runtuh. Pix: Sinar HarianSHAH ALAM: Seorang buruh binaan maut, seorang putus kaki dan tiga lagi terperangkap apabila bumbung konkrit banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini runtuh, hari ini. 
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata usaha menyelamat mangsa yang terperangkap sedang dijalankan oleh anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Majlis Bandaraya Shah Alam. 
"Kami percaya ketiga-tiga mereka masih hidup kerana kami masih mendengar suara-suara mereka memberikan respons kepada anggota penyelamat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mayat mangsa dikeluarkan oleh pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, tiga lagi pekerja binaan termasuk yang putus kaki berjaya dikeluarkan pada pukul 5 petang manakala seorang lagi dikeluarkan pada pukul 6.08 petang, katanya.

Pekerja yang putus kaki itu kini dirawat di HTAR, katanya.

Zahedi berkata kelapan-lapan buruh binaan itu merupakan warga Indonesia dan berusia dalam lingkungan 30-an.

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang mengenai kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.



- Bernama

Comments