Skip to main content

Muktamar Pemuda PAS Bahas 4 Usul Termasuk AES & BERSIH 4.0




Kota Bharu: Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-53 kali ini menerima empat usul untuk dibahaskan oleh para perwakilan pada hari ini.


Usul pertama berkaitan politik dan pilihan raya yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Jasin yang mengusulkan kepada muktamar supaya mendesak pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan Himpunan Bersih 4.0 ekoran ketidakpedulian kerajaan terhadap tuntutan Bersih 3.0 sebelum ini.

Usul kedua pula berkaitan media rasmi PAS, Harakah yang perlu diperkasa yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah.

Usul tersebut antara lain mahu PAS Pusat membuat penstrukturan semula sidang editorial Harakah dan mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk menapis dan mengawal kandungan pemberitaan Harakah dan Harakahdaily.

Usul ketiga pula berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang di kemukakan Dewan Pemuda PAS Malaysia sendiri.

Usul tersebut mendesak agar AES ditangguhkan serta merta dan mendesak agar satu mekanisma trafik baru dibuat yang bersifat mendidik dengan kajian dan piawaian negara maju.

Bagi usul keempat pula, Dewan Pemuda PAS Malaysia mahu muktamar membuat keketapan mendesak Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan para pemimpin MCA lain yang terlibat menghinan Islam secara terbuka untuk membuat permohonan maaf.

Usul tersebut juga mendesak muktamar mencabar Dr Chua Soi Lek berdebat berhubung isu ini dan mendesak semua pihak tidak menggunakan agama sebagai alat menghina pihak lain.

Ianya termasuk Umno yang dilihat terus membisu biarpun rakan mereka MCA, terus menerus membuat penghinaan terhadap agama Islam.

Bagaimanapun kesemua usul-usul ini akan dibahas pada sesi muktamar petang nanti.

Dua usul tanpa bahas

Sementara itu, muktamar juga menerima dua usul tanpa bahas yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian.

Usul pertama adalah supaya Pakatan Rakyat mengutamakan seluas-luasnya aspek pendidikan khususnya agama di negeri yang dikuasai.

Justifikasinya menurut usul itu, berdasarkan Bajet 2013, tiada sebarang peruntukan khas diberikan kepada pendidikan agama seperti kepada Sekolah Agama Rakyat.

Usul kedua pula adalah mendesak seluruh organisasi PAS mempertingkat usaha dakwah kepada orang bukan Islam agar mereka lebih memahami tentang Islam.

Usul tersebut turut mendesak supaya program dialog dengan orang bukan Islam diperbanyakkan dengan memanfaatkan sepenuhnya Dewan Himpunan Peyokong PAS.

Comments